Seperti yang
anda ketahui, banyaknya khasiat susu ibu kepada bayi. Susu ibu merupakan susu
yang terbaik dalam dunia ni. Tiada apa yang dapat mengatasi nutrisi yang
terdapat dalam susu ibu.
JIKA dilihat
10 tahun lalu, tidak ramai ibu-ibu yang mahu menyusukan bayi mereka dengan
alasan yang tertentu. Antara alasan yang popular ialah takut gemuk dan khuatir
bentuk payudara ‘jatuh’. Menyusukan
bayi di tempat-tempat awam juga jarang sekali dilakukan para ibu dek khuatir
dan malu sekiranya ada mata-mata nakal mencuri pandang saat baju diselak untuk
tujuan itu.
Kini,
senarionya ternyata berbeza sama sekali. Ramai ibu-ibu yang mula sedar betapa
pentingnya memberikan susu badan kepada bayi. Soal malu ditolak tepi.
Jika dulu, ibu
yang baru melahirkan bayi hanya memberikan susu badan dalam tempoh berpantang
dan berhenti apabila mula bekerja, kini, pemberian susu badan diteruskan kerana
mereka mengepam susu di pejabat bagi memastikan stok susu mencukupi.
“Susu ibu sangat baik untuk bayi dan ia
juga memberikan faedah buat ibu serta keluarga. Susu ibu merupakan makanan
terbaik dan terunggul dicipta khas untuk bayi.
“Semua haiwan menyusukan anak mereka dengan
susu sendiri. Bayi manusia juga sepatutnya disusukan dengan susu ibu sendiri
kerana apa yang bayi perlukan terkandung dalam susu ibu,” kata Timbalan Ketua
Jabatan Obstetrik dan Ginekologi (II) Hospital Kuala Lumpur, Dr. Noor Haliza
Yusoff.
Tambahnya,
berbanding susu formula yang diperbuat daripada susu lembu, komposisi zatnya
sama sekali tidak sama walaupun ada pihak yang mendakwa ia lebih kurang sama
dengan susu ibu.
“Tiada susu formula yang boleh menyerupai susu
ibu. Itu keajaiban susu ibu dan ia dinamik. Komposisi zat yang terkandung dalam
susu ibu pada waktu pagi, tengah hari dan malam adalah berlainan.
“Ia memenuhi keperluan zat seiring usia
bayi. Sebagai contoh, susu yang keluar pada usia bayi sehari lebih banyak
kandungan lemak,” ujarnya.
Banyak
kebaikan diperoleh oleh bayi yang diberikan susu ibu. Bayi akan mendapat semua
zat makanan yang diperlukan, terhindar daripada jangkitan-jangkitan penyakit
seperti cirit-birit berbanding susu formula yang mendedahkan mereka dengan
risiko masalah itu kerana air dan botol yang tidak bersih.
Selain itu,
susu ibu juga mengandungi antibodi-antibodi untuk mengelak dan mencegah
jangkitan respiratori (pernafasan) dan jangkitan telinga, malah kesan daripada
zat-zat yang diperoleh daripada susu ibu dapat mengelakkan kesan jangka masa
panjang dari segi obesiti, darah tinggi dan diabetes.
Perkembangan otak
Noor Haliza
juga memberitahu bahawa kandungan susu ibu juga dapat membantu perkembangan otak bayi agar menjadi cerdik dan cerdas.
Walaupun
banyak susu formula mengandungi bahan yang dikatakan dapat merangsang sel-sel
otak, kita tidak tahu sama ada bahan itu dapat memberi kesan yang sama seperti
apa yang terdapat dalam susu ibu.
“Pemberian susu ibu juga boleh mengelakkan
bayi kembung perut. Di sebalik semua kebaikan ia juga akan mengeratkan ikatan
kasih ibu dan bayi.
“Penyusuan badan juga dapat mempercepatkan
pengecutan rahim selepas bersalin. Secara tidak langsung, si ibu kurang
mendapat masalah pendarahan selain tubuh akan cepat kembali ke bentuk asal,”
jelasnya sambil memberitahu ia dapat mengurangkan risiko barah payudara, ovari,
rahim dan osteoporosis.
Ia juga dapat mengurangkan pencemaran alam sekitar
dan si ibu tidak perlu mengambil cuti kecemasan dengan kerap kerana si anak
berada dalam keadaan sihat.
Mengulas
mengenai mitos badan menjadi gemuk jika
menyusu badan, Noor Haliza memberitahu bahawa mitos tersebut tidak benar sama sekali.
Jika berikan
susu ibu, badan lebih cepat kembali ke
bentuk asal kerana sentiasa mengeluarkan lemak melalui susu dan dibakar ketika
proses menyusu.
“Semua orang fikir bahawa menyusu badan itu
sesuatu yang semula jadi dan boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja, tetapi ia
bukan sesuatu yang mudah.
“Ia satu kemahiran yang telah dilupakan dan
perlu dipelajari semula kerana ramai yang sudah terbiasa memberikan botol dan
menganggap menyusu badan itu tidak penting. Kita terpaksa ajar ibu-ibu cara
menyusu badan dengan betul supaya ia menjadi satu penyusuan yang efektif,”
katanya.
Penyusuan berjaya
Kegagalan
memberikan penyusuan efektif menyebabkan bayi tidak dapat membesar dengan baik
dan mungkin susu ibu pula yang dipersalahkan. Penyusuan
tidak efektif dan ditambah pula dengan teknik yang tidak betul menyebabkan luka
puting, bengkak susu dan sebagainya membuatkan sesetengah ibu serik untuk
memberikan susu badan.
Lantaran itu,
semua hospital kerajaan kini ialah hospital rakan bayi sejak tahun 1992 yang
mengamalkan 10 langkah ke arah penyusuan ibu berjaya.
“Mula-mula kita ajar dengan satu polisi
iaitu semua bayi perlu diberikan susu ibu sejak lahir hingga enam bulan secara
eksklusif.
“Selepas enam bulan, kita sarankan ibu
memberikan makanan pelengkap tanpa menghentikan penyusuan kerana selepas enam
bulan, pemberian susu sahaja tidak cukup,” katanya.
Ujarnya,
kebaikan susu ibu perlu dijelaskan kepada para ibu. Selepas sahaja bayi
dilahirkan, bayi terus diberikan kepada ibu tanpa dimandikan terlebih dahulu
kerana pengenalan pertama itu penting bagi interaksi awal.
Apabila sudah
ada stimulasi pada ibu dan bayi, senang untuk memulakan dan meneruskan
penyusuan.
“Bayi boleh ‘meneroka’ tubuh ibu untuk
mencari payudara. Jika bayi tidak hisap tidak mengapa. Kalau hisap, bagus.
Selepas bayi dimandikan, barulah si ibu diajar untuk menyusu.
Tambah Noor
Haliza, menyusu badan perlu ada tekniknya. Badan bayi perlu lurus, rapat dengan
ibu, mukanya menghadap payudara. Jika bayi tidak hisap, kemungkinan dia dalam
keadaan tidak selesa,” ujarnya.
Cara ideal
Katanya lagi,
ada tanda-tanda menunjukkan bayi bersedia untuk menyusu. Apabila bayi berada
dalam posisi menyusu, mulutnya akan terbuka luas dan barulah ia diberikan susu.
Mulut bayi
perlu masuk dalam semua kawasan areola (kawasan hitam payudara) dan bukannya
hisap puting sahaja yang akhirnya menyebabkan luka puting.
“Ada juga sesetengah ibu masih tidak mahu
memberikan susu badan selepas kita menerangkan tentang kebaikan susu ibu kerana
takut bentuk payudaranya tidak cantik dan suami tidak benarkan.
“Saya rasa ia satu kerugian. Bayi ada hak
untuk mendapat yang terbaik. Sudahlah dia tidak dapat apa yang diciptakan
untuknya, kita berikan pula susu haiwan seterusnya mendedahkannya kepada risiko
jangkitan,” katanya.
Sesetengah ibu
pula cuba memberikan susu badan tetapi ditolak beberapa kali oleh bayi.
Akhirnya, ibu tersebut putus asa dan mengambil keputusan memerah susu kemudian
memberikannya melalui botol.
Antara sebab
penolakan tersebut adalah kerana bayi mereka mengalami keliru puting (akibat
pemberian susu melalui botol). Pengalaman si bayi menyusu terus dari payudara
dan botol adalah sangat berbeza.
“Jika demikian, jangan berikan susu dengan
botol dan ajar bayi minum dengan cawan sedikit demi sedikit. Dengan kedudukan
45 darjah, bayi akan minum seperti kucing dan lama-kelamaan apabila sudah
biasa, dia akan dapat minum susu dengan banyak.
Noor Haliza
mengesyorkan para ibu agar merancang jadual penyusuan dua minggu sebelum
kembali bekerja. Susu perlu diperah dalam tempoh berpantang selepas bayi
selesai menyusu bagi memastikan stok mencukupi.
Apabila susu
kerap diperah, lebih banyak susu dihasilkan. Sungguhpun begitu, apabila si ibu
letih, sedih, marah dan stres ia mempengaruhi penghasilan hormon oksitosin yang
menyebabkan pengeluaran susu terhenti.
Bagi
melancarkan pengeluaran oksitosin, ibu perlu duduk di tempat yang sunyi, lihat
gambar bayi dan mendengar muzik-muzik lembut. Keadaan tersebut membolehkan susu
keluar.
“Jangan putus asa. Jika mempunyai
masalah penyusuan, jangan segan untuk berjumpa dengan pakar laktasi, doktor dan
jururawat di hospital kerana mereka akan memberikan bantuan,” ujarnya sambil
berpesan supaya para ibu tidak terpengaruh dengan iklan-iklan susu formula di
televisyen.
(Artikel dari KOSMO!)
Diharapkan,
dengan artikel di atas, ibu-ibu semua akan lebih mengetahui tentang kebaikan
susu ibu ini. Artikel di atas bukan sahaja membincangkan tentang kepentingan
susu ibu tetapi juga memberi tips bagaimana mahu menyusu bayi dengan betul dan
tips untuk memastikan pengeluaran susu lancar.
Sekarang anda
dah tahu kepentingan susu ibu, jadi sekarang jom kita faham apa itu konsep asas penyusuan susu ibu dengan klik SINI ye
No comments:
Post a Comment